528 pegawai pantau harga
BERITA HARIAN
Berita Nasional
IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melantik 528 penguat kuasa bagi memantau harga barang di seluruh negara sempena Deepavali dan Aidilfitri, tidak lama lagi.
| |
Timbalan Menterinya, Datuk S Veerasingam, berkata pengambilan kakitangan baru itu adalah bagi membantu tugas pemantauan terhadap kawalan harga barangan pada musim perayaan oleh 1,117 pegawai penguat kuasa sedia ada lebih berkesan.
Beliau berkata, pasukan pemantau harga barang itu kini sedang menjalani proses temu duga dan akan mula menjalankan tugasan mereka di beberapa kawasan yang sudah ditetapkan.
"Kita akan mendapat bantuan seramai 528 penguat kuasa tidak lama lagi bagi proses pemantauan harga barang sempena musim perayaan (Deepavali dan Aidilfitri) ini.
"Selain itu, seramai 15,000 orang lagi daripada beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Gabungan Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pendidikan Pengguna Untuk Guru Kokurikulum peringkat negeri di sini, semalam.
Seminar sehari anjuran anjuran bersama KPDNHEP, CAP dan Majlis Guru Besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil negeri itu bertujuan memberi pendedahan kepada guru mengenai hak pengguna yang kemudian akan disampaikan kepada semua pelajar mereka.
Sementara itu, Veerasingam turut mengingatkan pembeli supaya lebih berhati-hati ketika berbelanja dalam musim perayaan ini bagi mengelak pembaziran.
Beliau menasihatkan pembeli supaya membuat perbandingan harga barang di beberapa kedai berlainan terlebih dulu sebelum terus membelinya.
"Mungkin dengan berbuat demikian, pengguna akan dapat berjimat pada musim perayaan kali ini.
"Lebih penting, setiap pembeli perlu menyenaraikan barangan yang benar-benar diperlukan untuk digunakan dalam musim perayaan kali ini dan tidak membazir," katanya.
Dalam perkembangan lain, Veerasingam berkata, hasil pemantauan pihaknya di 15,000 premis perniagaan sepanjang bulan ini mendapati tidak ada sebarang kenaikan harga barangan yang ketara disebabkan kenaikan harga petrol.
"Jika ada kenaikan pun, ia disebabkan barangan itu adalah barangan import dan kenaikan itu pun disebabkan faktor lain seperti tambang kapal terbang dan pertukaran mata wang asing," katanya.


0 Comments:
Post a Comment
<< Home